Cari Apa yang Anda Mahu dengan GOOGLE

Custom Search

Friday, March 13, 2009

Contohi kemuliaan sifat peribadi Rasulullah - Sultan Azlan Shah



09 Mar 2009 11:54PM

IPOH: Umat Islam sewajarnya mencontohi kemuliaan sifat dan keperibadian Nabi Muhammad S.A.W yang diutuskan oleh Allah S.W.T untuk memberi rahmat ke seluruh alam sehingga membina satu tamadun yang agung, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Sultan Perak bertitah Nabi Muhammad melaksanakan dan memenuhi amanah serta tanggungjawabnya menerusi akhlak yang terpuji yang bukan sahaja diperlihatkan di kalangan anggota keluarganya, sahabat dan pengikut malah ketika menghadapi kumpulan yang menentangnya.

"Baginda mencerminkan sifat-sifat sabar dan mulia, menggunakan kalam-kalam hikmah yang terpuji sepanjang masa. Baginda memohon doa kesejahteraan untuk ummahnya dan memohon Allah membuka pintu kesedaran dan keinsafan kepada kumpulan memusuhi baginda.

"Baginda tidak mencerca, tidak juga menghina insan lain meskipun mereka tidak bersetuju dengan baginda," titah Sultan Azlan Shah ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul dan melancarkan program Bulan Dakwah peringkat negeri di sini hari ini.

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Normahani Raja Shahar Shah, Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Sharipah Zulkifli dan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria.

Sultan Azlan Shah bertitah sebaliknya Nabi Muhammad terus mencari jalan secara berhemah untuk kumpulan yang menentangnya agar dipertemukan dengan kebenaran dan akhirnya memberi sokongan serta bekerjasama dengannya.

Baginda bertitah Nabi Muhammad juga menghargai orang-orang yang berjasa dalam hidupnya yang diperlihatkan melalui layanan kepada anggota keluarganya termasuk di kalangan anggota keluarga yang enggan memeluk Islam.

"Tamadun yang agung itu dibina daripada pancaran sifat yang melihatkan watak dan keperibadian mulia dan berhemah. Sifat dan watak yang membuatkan kawan merasa hormat dan lawan merasa segan," titah baginda.

Selain itu, Sultan Azlan Shah bertitah dakwah Islam perlu dilaksanakan sebagai usaha serta tindakan yang berterusan dan sewajarnya berlaku sepanjang hayat bukannya bermusim.

"Dakwah yang berkesan bermula dengan usaha kecil, bermula dengan bercakap benar, bersifat jujur dan melakukan amalan secara ikhlas.

"Dakwah akan subur jika setiap insan tidak mengumpat, tidak melakukan fitnah, tidak berhasad dengki dan tidak bersifat haloba. Dakwah akan dapat dijayakan jika setiap insan menghayati nilai-nilai amanah dan bertanggungjawab yang diamalkan sepenuhnya dalam kehidupan seharian".

Sultan Perak bertitah dakwah akan berkembang apabila insan memiliki perasaan kasih sayang, mengamalkan sikap menghormati, sentiasa merendah diri dan insaf akan sifatnya sebagai hamba kerdil di sisi penciptanya yang Maha Agung.

Pada majlis itu, Sultan Azlan Shah turut menyampaikan anugerah Tokoh Guru Sekolah Agama Rakyat kepada Ahmad Shahimi Pandak Hassan, Tokoh Pegawai Masjid kepada Abdul Mokti Ayob, Tokoh Keluarga Mithali kepada keluarga Azizan Mohamaed Desa dan isterinya Meriam Abdullah yang berjaya membesarkan 12 orang anak mereka dan Tokoh Guru Agama Dakwah kepada Ali AC Din yang merupakan pegawai dakwah yang berkhidmat selama 31 tahun.

Baginda turut menyampaikan hadiah kepada pemenang hafazan Al-Quran peringkat negeri. Kesemua penerima anugerah dan pemenang berkenaan masing-masing menerima sejumlah wang tunai, sijil penghargaan, trofi dan hadiah iringan. / Bernama

No comments: